Tuesday, July 26, 2011

SISTEM BIOMETRIK UNTUK KELANGSUNGAN KEMENANGAN BN

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini. Tan Sri Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil. Keputusan ini di ambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik ini. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan UMNO/BN dan akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan YB Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang di pindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihanraya di Malaysia ini nampak tempang. Sepertimana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerakerja mencari dan mengenalpasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihanraya dapat dilaksanakan secara adil dan telus. SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya. BERSIH 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihanraya Umum ke 13 ini secara telus dan adil. Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

26 Julai 2011

Tuesday, July 19, 2011

PASTI PJU Bawa Pelajar Melawat Pusat Gajah Kuala Gandah dan Deerland Park di Lanchang

17 Julai 2011, Lanchang - Pelajar2 6 tahun Pasti Petaling Jaya Utara berkesempatan melihat secara dekat haiwan gajah, rusa dan haiwan lain.
Mereka kelihatan sangat gembira apabila dapat memberi makan sendiri kepada haiwan2 tersebut.

Tuesday, July 12, 2011

Kekerasan: Pemuda PAS serah memo pada Suhakam

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah menyerahkan memorandum khas kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah pihak polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Memorandum tersebut diserahkan sekitar jam 3.30 petang tadi oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan dan diterima oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee bersama Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah di ibu pejabat Suhakam, di sini.

Selain mendedahkan kekerasan polis, Nasruddin yang ditemani 8 orang pegawai Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam memorandum itu turut mendedahkan tindakan penafian akses peguam oleh pihak polis terhadap para tahanan himpunan itu.

Dalam memorandum yang dibacakan oleh Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia sehubungan itu meminta Suhakam menubuhkan satu Panel Penyiasat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1991.

Penubuhan panel itu bertujuan untuk menyiasat penggunaan kekerasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), layanan buruk terhadap tahanan dan penafian akses kepada peguam semasa dalam tahanan.

Menurut Ahmad Zamri, selain itu, Suhakam diminta mengisytiharkan bahawa tindakan PDRM itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang negara dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Suhakam diminta mengarahkan PDRM memohon maaf kepada semua tahanan yang telah dikasari.

"Suhakam diminta mengarahkan PDRM menghormati hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Suhakam diminta menasihati dan mengesyorkan kerajaan menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelahgunaan kuasa serta kekerasan oleh PDRM," katanya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4328-kekerasan-pemuda-pas-serah-memo-pada-suhakam

Friday, July 8, 2011

PEMUDA PAS SELANGOR SELAR NAJIB, HISHAMMUDDIN

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekecewaan yang teramat sangat terhadap YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai seorang Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama tidak menunjukkan nilai-nilai agama Islam yang baik dengan tidak menepati janji untuk memberikan kebenaran penggunaan stadium bagi himpunan BERSIH. Sedangkan sebelum itu, Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kerajaan akan menawarkan mana-mana stadium untuk digunakan sebagai tempat himpunan tersebut dengan syarat tertentu jika pihak Sekretariat BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun di jalanan. Kini apabila pihak Sekretariat BERSIH bersetuju dengan perhimpunan di dalam stadium maka pihak kerajaan pula yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sepatutnya YAB Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau seorang yang berjiwa besar dengan menunaikan janji yang telah diumumkan dan mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka untuk menerima permohonan Sekretariat BERSIH untuk menggunakan stadium tersebut sebagai tempat perhimpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merasakan tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein terus menerus melabelkan Gerakan BERSIH sebagai HARAM adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak cerdik kerana pihak Sekretariat BERSIH sendiri telah di terima untuk mengadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk menyampaikan dan memaklumkan agenda sebenar Himpunan BERSIH. Adakah Hishamuddin berhajat untuk memperkecilkan kebijaksanaan Tuanku Al Sultan di dalam menilai usul pangkal isu-isu yang berlaku di dalam Negara ataupun beliau sememangnya berhajat untuk melakukan penderhakaan dengan menganggap Tuanku Al Sultan mengiktiraf sebuah gerakan yang HARAM dan boleh menjejaskan keamanan masyarakat. Berdasarkan titah khas Tuanku Al Sultan baru-baru ini, sepatutnya Hishamuddin mengambil tindakan segera untuk mengendurkan tekanan-tekanan yang telah dikenakan ke atas rakyat dengan melepaskan semua tahanan-tahanan yang telah ditangkap secara paksa, membenarkan perarakan himpunan aman dengan pemantauan pihak polis dan mengeluarkan permit himpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berharap semoga kedua-dua pimpinan Negara ini, YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dapat menunjukkan akhlak muslim sejati dengan menunaikan janji mereka (lebih-lebih lagi apabila di hadapan seorang yang bukan Islam) untuk memberikan kebenaran supaya himpunan BERSIH dapat dijayakan di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini. Sepatutnya Kerajaan UMNO/BN tidak lagi terus-terusan membohongi dan berdolak-dalih di dalam isu ini kerana ianya akan hanya menambah kebencian dan rasa amarah rakyat kepada mereka. Rakyat kini sudah sedar akan penipuan dan penyelewengan pemimpin UMNO/BN untuk mempastikan kuasa mereka terus dipertahankan. Pilihanraya umum yang 13 akan datang rakyat pasti akan menghukum dan menumbangkan mereka daripada tampuk kekuasaan Negara. InsyaAllah.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

07 Julai 2011


Thursday, July 7, 2011

Pemuda PAS Selangor Buat Report Polis di IPD Shah Alam - 7 Julai 2011

Isu kenyataan Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis KL yang menuduh pihak BERSIH, selepas penemuan beberapa bilah parang, 'molotov' dan baju t-shirt BERSIH.

Wednesday, July 6, 2011

RAMPASAN SATU LAKONAN ?

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan rampasan sejumlah besar senjata termasuklah 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T berlogo BERSIH dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Sabtu ini. Semua senjata-senjata tersebut dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur. Telahan dan tuduhan tersebut hanyalah berdasarkan kepada penemuan baju T berlogo BERSIH bersama-sama senjata yang dirampas sepertimana yang dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meyangkal keras segala tuduhan tersebut dan meminta supaya pihak polis tidak terburu-buru di dalam menentukan kesalahan ke atas pihak tertentu tanpa ada pembuktian yang benar-benar kukuh dan munasabah. Hanya dengan penemuan baju T berlogo BERSIH, pihak polis sudah boleh menuduh pembabitan gerakan BERSIH sedangkan ianya boleh sahaja dicetak dan dikeluarkan oleh pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab maka kemampuan pihak polis untuk melakukan penyiasatan yang telus dan teliti boleh dipertikaikan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup gusar sekiranya rampasan ini merupakan satu agenda ataupun lakonan baru pihak polis untuk terus menjustifikasikan tindakan mereka menangkap dan menahan pemimpin-pemimpin gerakan BERSIH 2.0.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga berpendapat tuduhan pihak polis bahawa agenda BERSIH diresapi pengaruh komunis adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak hadir bersama-sama menjayakan Himpunan BERSIH 2.0. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap supaya pihak polis dapat melakukan penyiasatan terhadap isu ini dengan secara telus dan professional tanpa bias serta campurtangan pihak-pihak yang lain.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

06 Julai 2011


Dapatkan Selangor Kini... yg BERSIH.

Yang kotor Selangor Terkini

Monday, July 4, 2011

Penjelasan mengenai program-program terkini Kerajaan Negeri Selangor sangat perlu buat masa ini. Oleh itu, Pakatan Rakyat Petaling Jaya Utara menganjurkan Program Pimpinan Bersama Rakyat pada 4 Julai 2011, Hari Isnin 9.00 malam di Dewan Blok C, Flat PPRT Lembah Subang, P. Jaya.

Oleh itu, rakyat serta masyarakat setempat di jemput hadir beramai-ramai untuk mendengar ulasan-ulasan dan penerangan dari pimpinan negeri Selangor.

Sila sebarkan !!!

PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TERIMA KASIH KEPADA YANG DI PERTUAN AGONG

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merafak sembah merakamkan ucapan terima kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta supaya pihak kerajaan menangani setiap permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat secara berhemah dengan berunding dan tidak mengikut perasaan sepertimana masyarakat yang bertamadun. Titah ini menjurus kepada cadangan himpunan aman BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya pihak kerajaan, pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mematuhi saranan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong agar membuka semula pintu rundingan bersama Sekretariat BERSIH 2.0 bagi mempastikan perjalanan program tersebut berjalan lancar dan teratur. Janganlah pihak kerajaan, polis dan SPR dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun hanya kerana ingin mempertahankan keangkuhan dan keserakahan nafsu mereka semata-mata.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sekali lagi mempertegaskan bahawa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan aman rakyat menuntut pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia dan himpunan ini akan berlangsung dan berakhir dalam keadaan yang tenang dan baik. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjungi keamanan dan keharmonian dan menolak sebarang usaha provokasi untuk melakukan huru-hara ataupun kekacauan.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA DEWAN PEMUDA PAS

NEGERI SELANGOR

04 Julai 2011


KEMENTERIAN PENERANGAN BIADAP

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kerana secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan secara berleluasa iklan-iklan fitnah dan berbaur hasutan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Himpunan Aman BERSIH 2.0 di dalam media elektronik terutamanya RTM1 dan RTM2. Di dalam iklan-iklan tersebut, himpunan BERSIH 2.0 telah dimomokkan sebagai himpunan haram yang akan menyebabkan kerosakan harta benda, pertumpahan darah, huru hara, kacau bilau dan boleh menyebabkan para peniaga mengalami kerugian. Sepatutnya pihak Kementerian mengeluarkan iklan yang memperjelaskan hak-hak rakyat di dalam Negara yang berdaulat mengikut perlembagaan Negara bukannya memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan iklan-iklan “sampah” untuk mempertahankan kuasa pemimpin UMNO/BN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bertegas bahawa semua gambaran yang ditunjukkan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian yang menuntut supaya sistem pilihanraya di Malaysia ini diBERSIHkan daripada sebarang kekotoran penipuan dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang “gila” untuk mempertahankan kuasa mereka. Sekretariat BERSIH 2.0 telah meminta supaya setiap rakyat yang akan hadir ke himpunan tersebut tidak melakukan sebarang provokasi, ancaman, ugutan, vandalisme ataupun melakukan kekasaran terhadap mana-mana pihak. Sekretariat BERSIH 2.0 juga terbuka untuk berunding dengan pihak-pihak tertentu seperti polis untuk memastikan program tersebut berjalan lancar dan teratur bahkan meminta supaya pihak polis sendiri yang menentukan jalan yang sesuai untuk perarakan himpunan tersebut.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Kementerian Penerangan Malaysia menarik balik iklan-iklan fitnah tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kebiadapan mereka menyiarkan iklan-iklan tersebut. Sesungguhnya wang rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai telah disalah gunakan oleh pemimpin UMNO/BN untuk kepentingan diri mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Menteri Penerangan, YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau orang yang bermaruah dan berintegriti.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA DEWAN PEMUDA PAS

NEGERI SELANGOR

03 Julai 2011